Hubungan luar dan tentera Amerika_Syarikat

Setiausaha Luar Britain, William Hague dan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, Mei 2010

Amerika Syarikat kuat berpengaruh dalam bidang ekonomi, politik dan ketenteraan di seluruh dunia. Ia merupakan sebuah anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu; di Bandaraya New York terletaknya Ibu Pejabat PBB. AS menganggotai kumpulan G8, G20, dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Hampir kesemua negara di dunia membuka kedutaan di Washington, D.C., dan juga konsulat di seluruh negara. Begitu juga, hampir semua negara menempatkan misi diplomatik AS. Negara-negara yang tiada hubungan diplomatik dengan AS termasuk Cuba, Iran, Korea Utara, Bhutan, Sudan, dan Republik China (Taiwan).

AS menjalin "hubungan istimewa" dengan United Kingdom[48] di samping hubungan erat dengan Kanada, Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan Israel. Ia juga bekerjasama erat dengan ahli-ahli NATO yang lain mengenai isu-isu ketenteraan dan keselamatan, dan dengan negara-negara jirannya menerusi Pertubuhan Negara-Negara Amerika dan perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara bersama Kanada dan Mexico. Pada tahun 2008, AS menghulurkan perbelanjaan bersih $25.4 bilion untuk bantuan pembangunan rasmi, iaitu yang terbanyak di dunia. Bagaimanapun, sebagai kongsian pendapatan negara kasar, sumbangan AS sebanyak 0.18% itu adalah yang tercorot di kalangan 22 negara penderma. Sebaliknya, jumlah huluran persendirian oleh rakyat Amerika cukup membanggakan.[49]

Kapal induk pesawat udara USS Abraham Lincoln

Presiden memegang jawatan selaku panglima besar semua angkatan bersenjata negara yang melantik para pemimpinnya, Setiausaha Pertahanan dan Ketua Turus Bersama. Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mentadbir angkatan-angkatan bersenjata, termasuk Tentera Darat, Laut, Marin, dan Udara. Pasukan Pengawal Pantai dikelola oleh Jabatan Keselamatan Tanah Air pada masa aman dan Jabatan Tentera Laut ketika perang. Pada tahun 2008, angkatan bersenjata dianggotai oleh 1.4 juta kakitangan yang aktif bertugas. Termasuk sekali Tentera simpanan dan Pengawal Negara, jumlah kakitangan tentera negara adalah 2.3 juta orang. Jabatan Pertahanan juga mengambil tenaga sekitar 700,000 orang awam, tidak termasuk kontraktor.[50]

Khidmat tentera di AS adalah secara sukarela, tetapi kerahan tentera boleh dilaksanakan sewaktu perang melalui Selective Service System. Tentera AS boleh diatur kedudukan beramai-ramai dengan secepat mungkin oleh armada pesawat pengangkutan Tentera Udara, kapal induk pesawat Tentera Laut, dan Unit Ekspedisi Marin di laut dengan armada Tentera Laut di Atlantik dan Pasifik. Tentera AS mengendalikan 865 pangkalan dan kemudahan di luar negara,[51] serta mengaturkan lebih 1.4 juta askar di negara asing dan juga di laut, termasuk 25 negara yang mempunyai lebih daripada 100 kakitangan aktif.[52] Betapa luasnya kehadiran tentera AS di serata dunia telah menyebabkan AS dianggap seolah-olah menjaga "empayar pangkalan."[53]

Jumlah perbelanjaan ketenteraan AS pada tahun 2008, iaitu lebih $600 bilion, adalah lebih 41% perbelanjaan ketenteraan sedunia dan lebih besar daripada jumlah perbelanjaan ketenteraan 14 negara terbesar seterusnya. Perbelanjaan per kapita $1,967 lebih kurang sembilan kali purata dunia; pada 4% KDNK, kadar itu adalah yang kedua tertinggi antara 15 negara yang paling banyak perbelanjaan ketenteraannya, mengekori Arab Saudi.[54]

Rujukan

WikiPedia: Amerika_Syarikat http://adage.com/digital/article?article_id=116136 http://www.airforce-magazine.com/MagazineArchive/M... http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/616563/U... http://www.cbsnews.com/stories/2010/07/01/national... http://www.cheskin.com/view_news.php?id=2 http://www.clearlycultural.com/geert-hofstede-cult... http://www.dinsdoc.com/butler-1.htm http://dsc.discovery.com/convergence/supervolcano/... http://www.emarketer.com/Article.aspx?R=1004830